Rexy yakin kemampuan Fairuzizuan, Zakry jika dipilih
ANDAINYA beban harapan diletakkan ke bahu mereka, tiada ragu bakal mengganggu kombinasi Mohd Zakry Latif dan Fairuzizuan Tazari buat menjelmakan persembahan terbaik pada Sukan Olimpik di Beijing, Ogos ini.
Ketika ini, status mereka masih belum pasti ketika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu menanti selewat mungkin - hingga Jumaat ini - sebelum menamakan dua beregu untuk ke temasya sukan terulung itu.
Dua pasangan - Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah - ketika ini berada di hadapan dalam senarai pilihan untuk ke Beijing berdasarkan ranking dunia masing-masing.
Tetapi Wan Wah masih diganggu kecederaan bahu kanan yang dialami ketika pusingan akhir Piala Thomas di Jakarta, dua minggu lalu - sekali gus membenarkan Zakry dan Fairuzizuan untuk menyimpan harapan.
“Jika mereka dipilih, saya yakin Fairuzizuan dan Zakry akan mampu menghasilkan prestasi konsisten serta berupaya menangani tekanan di Sukan Olimpik. Mereka sudah buktikannya ketika diturunkan pada Piala Thomas lalu.
“Saya percaya suasana saingan sebenarnya lebih sukar di Piala Thomas dan Kejohanan Dunia, berbanding Sukan Olimpik. Kerana itu saya tiada ragu jika mereka yang dipilih nanti,” akui jurulatih, Rexy Mainaky.
Zakry sendiri melahirkan keyakinan sama, tetapi memilih untuk tidak mengulas lanjut dan sekadar mahu menanti keputusan akhir BAM, Jumaat nanti.
“Kami pasti akan bersedia jika BAM memutuskan untuk memilih kami ke Sukan Olimpik nanti. Tetapi lebih baik kita tunggu keputusan BAM nanti,” kata Zakry.
Nama Zakry-Fairuzizuan timbul dalam pertimbangan selepas prestasi baik menundukkan gandingan China, Xie Zhongbo-Guo Zhengdong untuk mengikat kedudukan 2-2 pada separuh akhir Piala Thomas lalu. Malaysia bagaimanapun kecundang 2-3.
Kebetulan, prestasi kurang meyakinkan Kien Keat-Boon Heong dan Tan Fook-Wan Wah juga tambah menghangatkan lagi perebutan untuk acara yang dianggap memiliki peluang baik buat negara memenangi pingat nanti.
Sementara itu, chef-de-mission kontinjen negara ke Beijing nanti, Datuk Ho Koh Chye, mengakui betapa barisan pemain badminton masih kekal selaku pemikul harapan utama untuk menamatkan kemarau pingat yang sudah berlanjutan selama 12 tahun.
“Memang saya akui pemain-pemain badminton masih harapan utama untuk memenangi pingat.
“Namun pada masa sama, saya juga gembira kerana atlit-atlit daripada sukan lain seperti memanah dan berbasikal juga sudah mencapai tahap di mana mereka mampu memberikan saingan kompetitif di pentas utama itu nanti,” katanya selepas mengunjungi kem latihan badminton, semalam.
Semua atlit negara yang layak ke Beijing juga akan dihimpunkan di Bukit Jalil, bermula bulan depan, untuk memupuk semangat berpasukan bagi menghadapi temasya itu nanti.


